Sunday, 20 November 2011

Projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT)

Projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Februari tahun lepas dijangka mampu membawa perubahan besar kepada sosioekonomi Sabah, khususnya kawasan Kimanis.

Projek di atas tanah seluas 101.17 hektar oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu bukan sahaja bakal menjadi mercu tanda kepesatan pembangunan Sabah malah akan menyediakan peluang-peluang pekerjaan berkaitan industri minyak kepada penduduk tempatan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan sistem pengangkutan yang bakal dibangunkan bagi menyokong keperluan projek tersebut secara tidak langsung akan turut dinikmati masyarakat tempatan.

SOGT merupakan antara komponen Projek Bersepadu Minyak dan Gas Asli Sabah-Sarawak yang sedang dilaksanakan oleh Petronas. Komponen lain dalam projek bersepadu berkenaan ialah pembangunan lapangan minyak dan gas di luar pantai Sabah dan pembinaan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP).

Projek SSGP akan melibatkan pembinaan saluran paip gas sepanjang 500 km (90 km di Sabah dan 410 km di Sarawak) melalui jalan darat yang akan menghubungkan SOGT Sabah-Sarawak Integrated Oil and Gas Project - PETRONAS di Kimanis, Sabah, dan Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Walaupun kos projek yang dijangka siap menjelang 2010 itu belum diketahui kerana Petronas belum pernah mendedahkannya kepada umum, namun berdasarkan laporan akhbar The Star pada 1 Dis lepas, kos keseluruhan projek bersepadu berkenaan dianggarkan bernilai RM3 bilion.

Jurucakap Petronas memberitahu Bernama bahawa kerja penyediaan tapak bagi projek SOGT akan dimulakan tidak lama lagi sementara projek SSGP masih pada tahap proses berkaitan tanah. Kedua-dua projek berkenaan telah memperoleh kelulusan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar tahun lepas.

Menurut jurucakap berkenaan, SOGT apabila siap kelak dijangka berfungsi untuk menerima, memproses, menyimpan dan mengeksport minyak daripada lapangan minyak luar pantai Sabah seperti lapangan minyak Gumusut yang berupaya mengeluarkan secara purata sebanyak 150,000 tong minyak mentah sehari pada tahun 2010.

Pada masa yang sama, SOGT juga akan berfungsi sebagai penerima, memproses, menyimpan dan mengeksport gas dari lapangan gas luar pantai Sabah yang sedang dibangunkan iaitu lapangan gas Kinabalu yang berupaya mengeluarkan secara purata 500 juta kaki padu gas sehari menjelang 2010.

Katanya SOGT mempunyai kapasiti menyimpan 2.5 juta tong minyak mentah dan berupaya mengendalikan sebanyak 300,000 tong minyak mentah sehari dan 1.0 bilion kaki padu gas sehari.

"Minyak mentah yang diterima oleh SOGT akan dieksport melalui sistem terus ke kapal tangki yang berlabuh kira-kira 10 km di luar pantai.

"Sebahagian daripada gas yang diterima oleh SOGT akan dimanfaatkan untuk kegunaan projek-projek hiliran dan selebihnya akan disalurkan melalui Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

"SOGT bakal melengkapi operasi kemudahan minyak dan gas sedia ada seperti Terminal Gas Sabah, Terminal Minyak Mentah Labuan dan Terminal Gas Labuan, dan akan merangsangkan lagi industri minyak dan gas di Sabah," kata jurucakap berkenaan.

Gas Asli yang disalurkan ke Bintulu, Sarawak akan diproses menjadi gas asli cecair untuk dieksport.

"Pembinaan SSGP pula dijangka akan menggalakkan pembukaan kawasan-kawasan baru di sepanjang laluan 500 km ini serta merangsang pertumbuhan aktiviti perniagaan yang berkaitan dengan industri minyak dan gas dan juga aktiviti komersial sampingan di kalangan penduduk tempatan," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican semasa upacara pecah tanah projek itu Februari tahun lepas berkata: "Projek ini bakal mendatangkan banyak manfaat tetapi bukan untuk yang hanya mencari kejayaan atau kekayaan segera. Projek ini bukan untuk kontraktor jangka pendek dan ejen komisyen.

"Petronas akan menyokong mereka yang mahu dan sanggup melabur untuk kepentingan jangka panjang bagi membina kapasiti dan keupayaan terutama modal insan.

"Dalam projek ini, Petronas akan memberikan keutamaan kepada rakyat Sabah, khususnya pengusaha Bumiputera Sabah, tetapi mereka mestilah bersedia untuk mengambil bahagian untuk jangka panjang.

"Kita mahu membina kapasiti dan keupayaan jangka panjang. Adalah menjadi harapan Petronas untuk melihat lebih banyak kontraktor dari Sabah yang berjaya dalam industri petroleum serta mampu memperkembangkan sayap mereka di arena global.




No comments:

Post a Comment